KUALA LUMPUR: Perak FC akhirnya berjaya melakar kemenangan sulung di laman sendiri dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Perak memanjat naik ke tangga ketujuh liga dengan mengumpul 12 mata daripada sembilan perlawanan, hanya empat mata di belakang pasukan ketiga Terengganu FC.

Pada pertembungan malam ini, gol kemenangan skuad bimbingan Yusri Che Lah itu dijaringkan oleh pemain import, Luka Milunovic pada minit ke-62 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Di babak kedua, KL City memperoleh peluang keemasan namun penjaga gol Perak Muhammad Haziq Nadzli berjaya menyelamatkan percubaan Brendan Gan.

Terdahulu, PDRM FC turut mengutip kemenangan keempat Liga Super selepas mencipta kejutan ke atas Sabah FC 1-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini.

Selepas aksi separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, kedua-dua pasukan terus buntu mencipta gol sehingga penyerang import, Ifedayo Olusegun meledak gol kemenangan PDRM pada minit ke-80 untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan.

PDRM kini di kedudukan keenam liga dengan mengumpul 14 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.
- BERNAMA