Skuad Harimau Selatan mencatatkan kemenangan besar itu selepas membenam pasukan Liga A1 Semi Pro tersebut, 6-0 pada aksi timbal balik pusingan 16 terakhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
JDT yang menewaskan KL Rover 3-0 pada aksi pertama 20 Nov lepas, memulakan pesta gol seawal minit ke-13 menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan KL Rovers, Mohammad Raffi Nagoorgani.
Tonggak pertahanan kiri, La'Vere Corbin-Ong kemudian memastikan JDT berada di kedudukan selesa, apabila meledak jaringan pada minit ke-33, sebelum bekas pemain Real Madarid, Jese Rodriguez melebarkan penguasaan menerusi jaringan masa kecederaan babak pertama.
Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Wan Mustaffa Wan Ismail terus menderita apabila penyerang import dari Brazil, Bergson da Silva mencetak dua jaringan, masing-masing pada minit ke-74 dan minit ke-82.
JDT di bawah kendalian Hector Bidoglio, kemudian melengkapkan kemenangan bergaya itu menerusi jaringan Mohamadou Sumareh, yang mudah menyudahkan tolakan Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-88.
Pada suku akhir, skuad Harimau Selatan akan bertemu pemenang aksi di antara Kedah Darul Aman (KDA) atau KL City hari ini, dengan Kedah mendahului 3-2 pada aksi pertama.
Sementara itu, Perak FC pula mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk mara ke suku akhir dengan keputusan agregat 6-1.
Skuad kendalian Yusri Che Lah itu bermula garang apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi penyerang import dari Brazil, Clayton Da Silva manakala Wan Zack Haikal menggandakan jaringan pada minit ke-35.
Perak kemudian meningkatkan jurang menerusi jaringan Ariff Ar Rasyid Ariffin pada minit ke-60 manakala anak buah Park Jae Hong meraih gol sagu hati menerusi Adam Danial Md Zaid pada minit ke-84.
Satu lagi perlawanan Piala Malaysia di Stadium Negeri Sarawak menyaksikan Kuching City FC menyingkirkan Penang FC menerusi keputusan agregat 3-0 untuk melangkah ke suku akhir, selepas mencatatkan kemenangan 2-0 malam tadi.
Kuching City menggunakan dengan baik kelebihan beraksi di laman sendiri menentang Penang FC yang kehilangan Muhammad Adib Abdul Ra'op yang dibuang padang pada minit ke-37 setelah semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau mengasari Moses Ated, untuk meledak dua gol pada babak kedua.
Skuad 'The Cats' berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-69 menerusi jaringan pemain import dari Namibia, Petrus Shitembi sebelum Muhammad Ramadhan Saifullah Usman menggandakan jaringan kedua pada minit ke-78.
Pada suku akhir, Kuching City bakal bertemu Sabah FC yang membelasah Putrajaya Antlers 7-0 manakala Perak akan mencabar pemenang bagi aksi antara Selangor dan Sri Pahang hari ini, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi pertama.
-- BERNAMA