Semua mangsa berusia 18 tahun dan merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 malam menerusi MERS 999.
Menurutnya, jentera FRT K1-03 dan EMRS K2-01 segera digerakkan bersama lapan anggota ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 10.39 malam, kami mendapati sebuah kereta Perodua Myvi telah terbabas dan melanggar penghadang jalan.
"Kemalangan ini melibatkan lima mangsa lelaki berusia 18 tahun, di mana dua daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.
Jelas Wan Azizul Hakim, pasukan penyelamat segera bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Dua mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah menggunakan EMRS BBP Alor Setar, manakala seorang lagi dibawa dengan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.
Operasi menyelamat turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM, dengan pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan serpihan kaca dan tumpahan minyak menggunakan satu aliran salur bantu mula. - Sinar Harian
