MELAKA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penyanyi sambilan wanita di sebuah rumah, bulan lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang penganggur, Hong Yew Peng, 54, didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan membunuh penyanyi sambilan wanita, Ling Lu Cheng, 52, di Melaka Tengah pada 22 Februari.
  • Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara.
  • Timbalan Pendakwa Raya memohon tarikh untuk laporan DNA dan bedah siasat, dengan Majistret menetapkan 21 April untuk serahan laporan. Tertuduh tiba di mahkamah dengan tangan kiri berbalut.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Hong Yew Peng, 54, berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Hong didakwa dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan hingga mendatangkan kematian Ling Lu Cheng, 52, di sebuah rumah di Jalan Sri Mangga, Taman Sri Mangga Seksyen 1, dalam daerah Melaka Tengah, antara 1.30 hingga 3.30 pagi, 22 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati boleh dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis, yang memohon satu tarikh bagi memperoleh laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat serta mencadangkan tiada ikat jamin terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin membenarkan cadangan itu dan menetapkan 21 April untuk serahan laporan.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah menaiki kenderaan polis memakai baju pesakit Hospital Melaka dengan keadaan tangan kiri berbalut kerana mengalami kecederaan.

-- BERNAMA