KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan lori di Kampung Padang Tengah, Ketereh, di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia 18 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kelisa dari arah Ketereh menghala ke Kampung Chekok Serendah.

"Setiba di lokasi kejadian kereta terbabit dipercayai telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori jenis Hino.

"Lori dipandu oleh seorang lelaki berusia lewat 30-an itu datang dari arah Kampung Chekok Serendah menghala ke Ketereh," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas.

Mohd Rosdi berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Pakar USM Kubang Kerian untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat kejadian ini diminta tampil hadir untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau hubungi talian 09-7752315.

"Kami turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam pemanduan semasa menggunakan jalan raya dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalulintas yang berkuatkuasa di Malaysia," katanya. - Sinar Harian