Ketua jurulatih Perak FC Yusri Che Lah berkata ia merupakan cabaran perlu dihadapi penyerang berkenaan memandangkan tempoh yang ada untuk melakukan persediaan berbaki kurang tiga minggu.
"Saya harap dia (penyerang) dapat menyesuaikan diri dengan segera kerana posisi itu amat penting selain menjadi antara penentu kepada prestasi pasukan," katanya ketika ditemui di Stadium Perak selepas perlawanan persahabatan pramusim menentang Selangor FC malam tadi.
Sebelum ini, desas desus mengatakan The Bos Gaurus bakal mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Colombia Wilmar Jordan yang kini beraksi di saingan Liga Super India bersama Punjab FC.
Untuk rekod, penyerang berusia 33 tahun itu telah meledak 97 gol dan 22 bantuan jaringan sepanjang 260 penampilannya.
Sementara itu, mengenai aksi persahabatan malam tadi yang menyaksikan tuan rumah tewas 2-3, Yusri berkata masih terdapat kesilapan mudah yang dilakukan pemain.
"Para pemain perlu jaga momentum dan fokus dalam 90 minit permainan. Perkara ini amat penting dan akan menjadi antara penentu dalam menentukan nasib pasukan," katanya.
Pada aksi malam tadi, jaringan Perak dihasilkan menerusi Wan Zack Haikal pada minit ke-31 dan Lee Tae Min (89) manakala gol anak buah Nidzam Jamil diperoleh menerusi jaringan Alvin Fortes (49), Faisal Halim (54) dan Yohandry Orozco (77)
-- BERNAMA