Brazil akan turun dengan momentum yang agak tempang apabila kehilangan dua tonggak penting dalam skuad ‘Selecao’ iaitu Neymar dan ketua pasukan, Thiago Silva.
Neymar sudah pun mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia selepas mengalami kecederaan tulang belakang apabila ‘dihentak’ dari belakang oleh lutut Juan Camilo Zuniga semasa perlawanan suku akhir menentang Colombia yang berkesudahan kemenangan kepada Brazil dengan jaringan 2-1.
Silva pula digantung satu perlawanan apabila mengutip dua kad kuning semasa menentang Colombia meskipun beliau menjaringkan gol pertama ketika perlawanan tersebut.
PERTAHANAN: David Luiz akan bergandingan dengan Dante yang menggantikan Thiago Silva untuk mengekang asakan Jerman. - AP Photo/Andre Penner
Namun begitu, percaturan Luiz Felipe Scolari tidak boleh dipandang rendah apabila penyerang Chelsea, Willian dijangka akan mengambil alih tempat Neymar manakala pertahanan Bayern Munich, Dante pula akan diturunkan menggantikan Silva disamping David Luiz (gambar) yang turut sama akan mengawal pertahanan.Meskipun Brazil kehilagan dua tonggak penting untuk perlawanan penting ini, mereka dijangka akan masih tetap mampu memberikan saingan hebat kepada Jerman melalui Oscar, Fernandinho dan Hulk disamping Willian dengan gerakan-gerakan menarik yang mampu menghasilkan gol pada perlawanan ini.
Oscar dikirakan sebagai perancang permainan perlawanan ini akan mampu melorongkan bola-bola berbahaya kepada rakan sepasukan untuk meraih kemenangan dan membantu Brazil layak ke peringkat akhir.
Sementara itu, Jerman tidak ingin mengingati kenangan pahit tewas 0-2 kepada Brazil pada final Piala Dunia 2002 di Jepun/Korea Selatan dimana Ronaldo meledak dengan dua gol menewaskan penjaga gol legenda Jerman, Oliver Kahn dan akan berusaha untuk merobek gawang Brazil.
Ketiadaan Neymar dan Thiago Silva juga memberi kelebihan kepada Jerman yang akan sekali lagi menyandarkan harapan kepada Thomas Muller (gambar).
BERBISA: Muller (kanan) akan menggunakan kesempatan pada perlawanan ini untuk menambah koleksi jaringannya bagi menyaingi pendahulu dari Colombia, James Rodriguez. - AP Photo/Martin Meissner
Tonggak veteran Jerman, Miroslav Klose yang ada bersama skuad Jerman ketika tewas kepada Brazil 12 tahun lalu akan berusaha untuk memadamkan memori luka itu dengan cuba untuk menjaringkan gol sekaligus mencipta satu lagi rekod peribadi seandainya beliau diturunkan pada perlawanan malam ini.
Barisan tengah Jerman yang kreatif mencipta peluang akan menggempur habis-habisan diterajui Mesut Ozil, Bastian Schweinsteiger, Toni Kroos dan Mario Gotze.
RAMALAN ASTRO AWANI: Brazil..1 Jerman..2
Pada pandangan anda, siapakah yang akan layak ke final?