Keputusan itu juga seiring kepengerusian BRICS oleh Brazil serta peranannya sebagai hos Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP).
Menerusi kenyataan bersama antara Presiden Luiz Inacio Lula da Silva dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua pemimpin telah berikrar untuk bekerjasama bagi sistem pelbagai hala yang diaktifkan semula berdasarkan prinsip-prinsip Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
Malah, kedua-dua pemimpin menyedari keperluan untuk pembaharuan menyeluruh dalam tadbir urus global untuk menjadikannya lebih berkesan, telus dan bertanggungjawab serta mengambil kira aspirasi negara-negara membangun dan sedang membangun untuk memainkan peranan lebih besar dalam hal ehwal antarabangsa.
Ini sekali gus mencerminkan realiti sosial, ekonomi dan politik serta kesusahan abad ke-21 serta peningkatan penonjolan Global Selatan, kata mereka.
Pada masa sama, Anwar dan Lula juga sedar berkenaan kemunculan pusat kuasa baharu, pembuatan keputusan dasar dan pertumbuhan ekonomi yang seharusnya membuka jalan kepada dunia multipolar yang lebih saksama, adil, demokratik dan seimbang.
Dalam kenyataan sama, Anwar berkata, Lula telah menerima undangan beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada 2025 sebagai Tetamu Pengerusi.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Lula kerana mengundang beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di sini.
Malaysia, bersama-sama 16 lagi negara termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam, turut menjadi negara tetamu pada Sidang Kemuncak G20.