PARIS: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi layak ke pusingan pertama selepas mencatatkan masa kedua terpantas dalam saringan pertama acara 100 meter (m) lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini.

Dalam acara berlangsung di Stade de France, atlet berusia 20 tahun yang berlari di lorong ketiga itu menamatkan saingan di tempat kedua dengan 10.42 saat (s).

Wakil Gambia, Ebrahima Camara mengungguli saringan pertama dengan 10.29s manakala Marc Brian Louis (10.43s) dari Singapura ketiga.

Pemegang rekod kebangsaan 10.09s itu, seterusnya akan beraksi dalam pusingan pertama berlangsung pada 11.45 pagi waktu tempatan (5.45 petang waktu Malaysia).

"Matlamat utama pagi ini adalah untuk layak ke pusingan pertama, perlumbaan seterusnya ada yang sebenar. Saya akan berikan segalanya dan berharap dapat bertahan.

"Saya ke Olimpik dengan matlamat utama untuk dapatkan catatan terbaik musim ini, sekurang-kurangnya bawah 10.36s," katanya.

Hanya 14 daripada 46 pelumba yang bersaing dalam enam saringan akan meneruskan saingan ke pusingan pertama, iaitu dua pelumba terpantas setiap saringan bersama empat lagi yang mencatatkan masa terbaik.

Saingan separuh akhir dijadual berlangsung pada 8.05 malam Ahad (2.05 pagi Isnin waktu Malaysia), diikuti final 9.50 malam (3.50 pagi waktu Malaysia).

Rekod dunia dan Sukan Olimpik acara 100m lelaki masih kekal milik pelumba legenda Jamaica, Usain Bolt masing-masing 9.58s (2009 di Berlin) dan 9.63s (2012 di London).

Pada Sukan Asia Hangzhou September lepas, Muhammad Azeem meraih gangsa dengan catatan 10.11s, sekali gus menamatkan penantian lebih empat dekad negara untuk penamat podium acara reben biru itu sejak Datuk Rabuan Pit memperoleh emas pada edisi 1982 di New Delhi, India.

-- BERNAMA

*Tonton strim langsung Sukan Olimpik Paris 2024 di Astro, Astro GO, and sooka.