PARIS: Britain mencipta rekod baharu dunia dengan catatan masa 45.186 saat (s) untuk memenangi emas dalam acara pecut berpasukan wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines pada Isnin.

Trio Katy Marchant, Sophie Capewell dan Emma Finucane menewaskan trio New Zealand, Rebecca Petch, Shaane Fulton, dan Ellesse Andrews, yang mencatatkan masa 45.659s, lapor Xinhua.

"Saya kehilangan kata-kata, ia benar-benar luar biasa," kata Marchant yang dipanggil menyertai pasukan pada saat akhir dan kali terakhir meraih pingat Olimpik adalah pada 2016.

Finucane juga gembira dengan berkata: "Kami telah bekerja keras untuk ini dan proses adalah kuncinya," katanya.

Acara pecut berpasukan melibatkan tiga pelumba yang berlumba sejauh 750 meter (tiga pusingan) mengelilingi trek dengan seorang pelumba 'tidak meneruskan saingan' selepas setiap pusingan, meninggalkan seorang pelumba dari setiap pasukan untuk melintasi garisan penamat.

-- BERNAMA