Itu gambaran tepat untuk aksi separuh akhir antara beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berdepan beregu utama dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang sebentar tadi.
Walaupun misi Malaysia menebus kekecewaan untuk ke final tidak kesampaian, namun regu lelaki negara tidak memberi laluan mudah kepada Wei Keng-Wang Chang selepas mengheret mereka ke perlawanan penentuan.
Dalam perlawanan yang mengambil masa selama 72 minit, Aaron-Wooi Yik cuba sedaya upaya membalas dendam buat negara bagi menundukkan Wei Keng-Wang Chang.
Regu di ranking ketiga dunia itu bangkit daripada kekalahan pada set pertama 19-21 dengan corak serangan yang lebih kemas untuk mengatasi pasangan China, 21-15 pada perlawanan kedua.
Memasuki perlawanan penentuan yang penuh mengejutkan, Aaron-Wooi Yik mempamerkan aksi agresif dalam menguburkan hasrat regu China untuk mara ke peringkat akhir.
Porte de La Chapelle Arena, Paris menjadi saksi kecemerlangan dua atlet profesional negara itu dengan pungutan mata bertukar-tukar termasuk teknik 'smash' tajam untuk mematikan perlawanan.
Namun, regu China itu nyata tidak mudah dipatahkan di sebalik tentangan sengit oleh Aaron-Wooi Yik sebelum mereka memuktamadkan set penentuan dengan 21-17.
Ia sekali gus melenyapkan hasrat Malaysia untuk mengesahkan ke slot dalam pertarungan sebenar perburuan pingat emas.
Sementara itu, Aaron ketika ditemui wartawan Astro Arena sejurus selepas tamat permainan yang cukup sengit itu menegaskan sudah memberi yang terbaik dan berjuang habis-habisan.
Wooi Yik pula berkata mereka berdua telah mencuba yang terbaik.
"Match begini sememangnya sengit, kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Kami berharap permainan yang seterusnya akan lebih baik," tambah Wooi Yik.
Malaysia mempunyai satu lagi harapan untuk meraih pingat gangsa apabila Aaron-Wooi Yik dijangka turun bertemu pasukan Taiwan atau Denmark.
Berdasarkan rekod pasangan negara, Aaron-Wooi Yik pernah mencatat dua kemenangan berdepan wakil China itu.