Pelumba berusia 20 tahun itu menamatkan perlumbaan repechage di kedudukan kedua di belakang pelumba Kanada, Lauriane Genest dengan hanya pemenang mara ke pusingan seterusnya.
Nurul Izzah terpaksa turun beraksi dalam pusingan tersebut selepas tewas kepada Sophie Capewell pada pusingan pertama acara pecut.
Atlet kelahiran Kedah itu mencatat masa 0.081 saat (s) di belakang pelumba dari Great Britain dalam saingan heat 4.
Bagaimanapun, Nurul Izzah berjaya memecah rekod kebangsaannya pada pusingan kelayakan acara pecut dengan catatan masa 10.709s, sekali gus memadam rekod 10.903s yang diciptanya di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai, tahun lalu.
Dia menamatkan sesi kelayakan itu di kedudukan ke-21 daripada 24 pelumba untuk mara ke pusingan 1/32.
Nurul Izzah yang membuat penampilan sulung di Olimpik memulakan kempennya dalam acara keirin wanita pada 7 Ogos lalu.