Menerusi satu kenyataan, MOM berkata, semua perbelanjaan untuk keluarganya dibiayai secara peribadi oleh Norza.
Menurut kenyataan itu lagi, MOM dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) hanya memudah cara akses dan itu dilakukan bagi memastikan tiada sumber kerajaan digunakan untuk tujuan tersebut.
Tambahnya, kehadiran Norza di Sukan Olimpik, termasuk keluarganya, mematuhi sepenuhnya peraturan IOC dan MOM.
“Pada saat ini, adalah penting bagi kita sebagai rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada perkara paling penting, iaitu menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang mewakili negara di pentas dunia.
“Marilah kita bersatu hati dan menyalurkan tenaga kita untuk meraikan pencapaian mereka dan menggalakkan usaha mereka,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, mengulas kuota khas yang menjadi kritikan ramai pihak, MOM memberitahu kuota itu diperuntukkan khas untuk pucuk pimpinan mana-mana badan/majlis atau jawatankuasa Olimpik negara masing-masing.
Ia termasuklah bagi mereka yang memegang jawatan seperti Presiden dan Setiausaha Agung, selain Ketua Negara, dan Menteri Sukan.
“Kuota ini hanya menyediakan akses ke kawasan VIP dan tidak meliputi akses ke padang permainan (FOP), bilik persalinan, atau tempat penginapan atlet di Perkampungan Sukan.
“Ia menjadikannya tidak praktikal untuk jurulatih atau kakitangan sokongan menggunakan kuota ini kerana ia tidak memberi akses yang diperlukan untuk menyokong atlet secara efektif.
“Disebabkan akses yang terhad, pasukan sokongan kepada mana-mana atlet harus diatur di luar akses IOC,” jelas kenyataan itu.