ALOR SETAR: Pengendali pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Nafuzi Mohd Zain berpuas hati dengan prestasi permainan anak buahnya yang berjaya 'menangguhkan' kejuaraan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Liga Super musim ini.

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman malam tadi, Kedah yang turun dengan aksi memberangsangkan telah mengikat JDT dengan keputusan 3-3, sekali gus menyekat skuad Harimau Selatan daripada meraikan kejuaraan ke-10 Liga Super lebih awal.

Mohd Nafuzi berkata, konsistensi permainan serta keyakinan pemain yang diterjemahkan malam tadi, merupakan prestasi yang didambakannya selama ini dan berharap ia dapat dikekalkan pada masa akan datang.

"Bagi saya satu mata berharga. Situasi sekarang ini untuk berada di atas kita perlu mata, saya rasa apa pemain tunjuk malam ini kita dapat gambaran sebenar inilah permainan yang sepatutnya kita bermain.

"Saya rasa keyakinan pemain malam ini (malam tadi) secara keseluruhan begitu tinggi dari sebelum ini... dari segi boosting, serangan, pertahanan dalam 90 minit permainan yang menarik untuk kita tengok," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Selain itu, Mohd Nafuzi berkata, komitmen serta motivasi bermain sebagai satu pasukan membolehkan semua posisi berfungsi dengan baik.

"Dalam waktu rehat, saya bagi tahu kepada pemain supaya kekalkan semangat sampai habis, jangan perlahankan permainan dan terus berikan tekanan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari berkata, pasukan Kedah bermain dengan baik dan pasukannya mempunyai banyak peluang menjaringkan lebih gol namun tidak berhasil. - BERNAMA