ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak boleh leka dengan kemenangan besar ke atas Kelantan dalam aksi Liga Super malam tadi, sebaliknya perlu beralih tumpuan pada perlawanan menentang Selangor, Rabu ini.

Ketua Jurulatih KDA FC Mohd Nafuzi Mahammad Zain berkata walaupun tiga mata di halaman sendiri itu memberi semangat dan suntikan moral kepada pasukan, namun berdepan Selangor di tempat lawan dilihat sukar jika tiada perancangan teliti dilakukan.

"Kita kena memikirkan strategi baharu untuk perlawanan bertemu Selangor di tempat lawan pada Rabu ini kerana jangkaan 'game' ini adalah sukar dan kena ingat bertemu Selangor berbeza berbanding apa yang diperoleh dalam perlawanan ini (malam tadi).

"Untuk bersaing dengan pasukan teratas liga, kita tak boleh kehilangan mata, itu yang penting sekali dan ia memberi cabaran buat saya sebagai jurulatih," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang Kelantan FC di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Sang Kenari berpesta gol apabila menjaringkan lima gol tanpa balas dan meletakkan pasukan itu di tangga keempat Liga Super.

Mohd Nafuzi berkata percaturan baharunya yang meletakkan Mohd Amirul Hisham Awang Kechil di posisi tengah bersama Lee Andrew Tuck di bahagian kiri berhasil mengucar-ngacirkan pertahanan lawan, sekali gus mencipta banyak peluang dan jaringan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan FC Frank Bernhardt berkata pasukannya tidak bernasib baik apabila percaturan yang dibuat serba tidak menjadi selain banyak kesilapan dilakukan pemain sehinggga menyebabkan hilang bola dan tewas pada perlawanan itu.

"Pemain tidak melakukan hantaran yang tepat, malah sering hilang bola, pengalaman pemain juga memberi kesan kepada pasukan, inilah yang membezakan keputusan perlawanan malam ini," katanya.

-- BERNAMA