ANKARA: Rafael Nadal menerusi akaun media sosialnya menyampaikan hasrat untuk beraksi di Wimbledon 2022.

"Saya berhasrat untuk cuba bermain di Wimbledon.

"Pada Isnin saya akan ke London dan melihat bagaimana sesi latihan mingguan berjalan," kata legenda tenis Sepanyol itu di Instagram pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.

Nadal yang menjalani pemulihan selepas cedera di kaki, sedang mengejar masa agar kembali cergas menjelang saingan Wimbledon.

Beliau mensasarkan untuk merangkul empat gelaran Grand Slam dalam tempoh satu tahun, bagaimanapun mengakui ia bukan satu tugas yang mudah.

"Dalam siri jelajah lelaki, tiada siapa pernah menjuarai Grand Slam sejak Rod Laver," kata pemain berusia 36 tahun itu kepada Persatuan Profesional Tenis pada Jumaat.

Nadal, sebelum ini memiliki 21 gelaran Grand slam menakjubkan, telah menggondol dua lagi Grand Slam - Terbuka Australia dan Terbuka Perancis (Roland Garros) - setakat ini, kejohanan Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat masih belum berlangsung pada 2022.

Mula dianjurkan pada 1877, Wimbledon merupakan satu-satunya perlawanan Grand Slam yang masih dijalankan atas gelanggang rumput, yang menjadi tradisi sukan itu.

Edisi ke-135 kejohanan akan berlangsung dari 27 Jun hingga 10 Julai.

-- BERNAMA