PEMAIN tengah Barcelona, Frenkie de Jong, mendakwa gergasi LaLiga sedang bergolak ketika kapten, Lionel Messi, kelihatan meninggalkan Nou Camp.

Messi tidak terlibat dalam sesi latihan pra-musim pertama Barca di bawah kendalian ketua jurulatih baru, Ronald Koeman Isnin lalu selepas pemenang Ballon d'Or enam kali itu menghantar surat permohonan untuk berhijrah, dengan Manchester City dilaporkan sebagai pasukan pilihan untuk menandatanganinya.

Messi turut menghadiri ujian coronavirus Ahad lalu dan dia percaya bahawa klausa yang termaktub dalam kontraknya yang membenarkan dia meninggalkan pasukan secara percuma masih lagi aktif, bermakna dia tidak lagi bergelar pemain Barcelona.

Ia hadir selepas Barca gagal mempertahankan gelaran LaLiga yang dimenangi Real Madrid serta diaibkan Bayern Munich 8-2 dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain skuad Belanda, De Jong, yang menikmati musim pertama yang sukar di Sepanyol, memberitahu kepada NOS, "Ketika ini, ia adalah situasi yang kucar-kacir di Barcelona, terlalu perkara aneh yang berlaku.

"Saya belum bercakap dengannya [Messi] mahupun kelab.

"Tetapi jika Messi berhijrah, ia adalah satu tamparan hebat kepada pasukan dan kelab.

"Selepas saya pulang daripada perlawanan antarabangsa, saya akan melihat apa yang sedang berlaku."


Messi melihat Barca seperti rumah sendiri sejak 2001, muncul daripada sistem akademi terkenal kelab di2004.

Sejak membuat penampilan sulung 16 tahun lalu, Messi telah memenangi 33 trofi -- termasuk 10 gelaran LaLiga dan empat takhta UCL.

Messi -– dikaitkan dengan Paris Saint-Germain (PSG), Juventus dan Inter -– turut merupakan penjaring terbanyak gergasi LaLiga, Barca.

De Jong berkata lagi kepada Fox Sports, "Saya berharap Messi masih lagi bersama pasukan, tetapi ia sesuatu di luar kawalan saya. Dia masih lagi dalam whatsapp group pasukan.

"Saya bukan siapa-siapa untuk berbincang dengan Messi tetapi saya yakin dia mempunyai ramai di sekelilingnya yang melakukannya hari ini."