KOTA KINABALU: Pengendali dari Slovakia Martin Stano dilantik sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC sehingga tamat musim 2024/2025.

Stano sebelum ini dilantik sebagai Penolong Jurulatih interim merangkap Jurulatih Kecergasan bersama Alto Linus yang dilantik sebagai Ketua Jurulatih interim setelah Datuk Ong Kim Swee memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama pasukan itu.

Sabah FC dalam kenyataan malam ini memberitahu Stano, 47, akan dibantu Alto yang bertindak sebagai Penolong Jurulatih manakala Muhamadin Abdul Ajid yang sebelum ini Jurulatih Kecergasan Sabah FC II dilantik sebagai Jurulatih Kecergasan pasukan utama.

"Pelantikan ini diambil daripada barisan kejurulatihan sedia ada bagi memastikan momentum kemenangan serta pendekatan pasukan seperti latihan, taktikal, metodologi dan analisis video dapat diteruskan dan tidak menjejaskan prestasi pasukan.

"Untuk makluman, MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) memberikan tempoh sehingga 10 Dis ini (hari ini) untuk Sabah FC melantik ketua jurulatih baharu yang memiliki Lesen Pro dan Stano memiliki lesen itu," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Kim Swee memilih untuk tidak lagi bersama Sabah FC apabila kontraknya berakhir pada bulan lepas dengan bekas pengendali Harimau Malaya itu kemudiannya diumum sebagai Ketua Jurulatih Persis Solo di Indonesia.

Sabah FC kini berada di tangga ketiga Liga Super apabila meraih 29 mata daripada 15 perlawanan.

-- BERNAMA