HASRAT pendahulu Manchester City untuk mengembalikan semula rentak kemenangan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak kesampaian apabila diikat 1-1 semasa kunjungan ke Stadium St James's Park menentang Newcastle United pada Sabtu.

Anak buah Pep Guardiola yang diikat 2-2 di Stadium Emirates ketika melayan kunjungan Arsenal 22 September lalu terlebih dulu memimpin perlawanan hasil jaringan pemain kelahiran Croatia, Josko Gvardiol minit ke-35.

Newcastle United kendalian Eddie Howe yang diaibkan Fulham 1-3 di Stadium Craven Cottage pada 21 September kembali menyamakan kedudukan selepas

Anthony Gordon menyempurnakan sepakan penalti minit ke-53.

Perlawanan yang tanpa kelibat Kevin De Bruyne dan Rodri untuk memacu Manchester City menyaksikan penjaring terbanyak Erling Haaland gagal menjaringkan gol buat kali pertama untuk The Citizens musim ini.

Sementara itu, Newcastle United yang tanpa khidmat Alexander Isak dan Callum Wilson yang cedera bergantung kepada Gordon untuk menjanakan serangan balas The Magpies.

Keputusan seri itu menyaksikan Manchester City kekal dengan 14 mata manakala Newcastle United pula mengumpul 11 mata selepas selepas masing-masing mengharungi enam perlawanan.

Manchester City selepas ini akan berkunjung ke Slovakia bagi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Slovan Bratislava di Tehelne Pole manakala Newcastle United menerima kunjungan AFC Wimbledon dalam aksi Pusingan Ketiga Piala Liga di St James's Park, pada 2 Oktober.

Liga Perdana Inggeris

Keputusan

Newcastle United 1-1 Manchester City

Chelsea 4-2 Brighton

Brentford 1-1 West Wam United

Everton 2-1 Crystal Palace

Arsenal 4-2 Leicester City

Nottingham Forest 0-1 Fulham

- Sinar Harian