Lebih membanggakan kejayaan diraih skuad remaja negara itu merupakan pencapaian terbaik Malaysia di kejohanan berkenaan sejak kali pertama dianjurkan pada 2006.
Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt berkata kejayaan itu amat membanggakan apabila berjaya mengatasi pencapaian lima pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa dua tahun lepas.
"Saya sangat bangga dengan kejayaan ini sebab ia menunjukkan satu perkembangan positif terutama untuk atlet muda kita.
"Sebab mereka inilah yang mana pada masa akan datang bakal mewakili negara di kejohanan-kejohanan antarabangsa, temasya Sukan SEA dan Asia malah ada beberapa atlet yang berjaya meraih emas kita akan pertimbangkan untuk sertai Temasya Olimpik Remaja 2025 di Dakar, Senegal," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Kim Fatt mengakui sedikit kecewa dengan prestasi dipamerkan atlet dalam disiplin sanda (tempur) di kejohanan itu.
"Kita kali ini ada lima hingga enam atlet sanda tetapi semua gagal apabila kalah pusingan pertama. Mungkin kurang sokongan daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN).
"Sokongan dari pihak MSN penting untuk kita lahirkan atlet yang berpotensi untuk menang pingat di kejohanan yang mereka sertai," katanya.
Dalam pada itu, China muncul juara keseluruhan bagi disiplin taolu selepas mengumpul 10 emas dan satu gangsa manakala Indonesia di tempat ketiga dengan sembilan emas, lapan perak dan tujuh gangsa.
-- BERNAMA