Liga Super: Pertahanan kebangsaan Uzbekistan sah sertai Selangor
Selangor FC mengumumkan bahawa mereka sah telah mengikat pertahanan skuad kebangsaan Uzbekistan, Umar Eshmurodov.
Astro Arena
Fri Feb 02 2024
Eshmurodov ketika ini sedang memperkuatkan Uzbekistan dalam Piala Asia 2023.- Foto Stadium Astro
SELANGOR FC hari ini mengumumkan bahawa mereka sah telah mengikat pertahanan skuad kebangsaan Uzbekistan, Umar Eshmurodov.
Semalam, Stadium Astro melaporkan bahawa Selangor sedang menyasarkan untuk membawa masuk pertahanan kental berusia 31 tahun itu dan hari ini, Eshmurodov diumumkan secara rasmi sebagai pemain import baru Gergasi Merah.
Eshmurodov ketika ini sedang memperkuatkan Uzbekistan dalam Piala Asia 2023 dan mereka akan bertemu juara bertahan dan pasukan tuan rumah, Qatar, bagi perlawanan suku akhir pada malam esok.
Sebagi rekod, Eshmurodov, yang berketinggian 185sm, mencipta nama bersama kelab Uzbekistan, FC Nasaf Qarshi, dari 2017 hingga 2023, di mana dia turut dilantik sebagai ketua pasukan itu dengan julangan Piala Uzbek sebanyak tiga kali berturut-turut dari 2021 hingga 2023.