KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor FC Nidzam Jamil memuji persembahan Red Giants selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Jeonbuk Hyundai Motors FC dari Korea Selatan dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL) 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Beliau berkata barisan pemainnya layak mengecapi kemenangan penting itu dan menyifatkannya aksi kedua-dua pasukan dalam Kumpulan H itu sebagai satu perlawanan yang mendebarkan.

"Saya ucap tahniah kepada kedua-dua pasukan kerana pada saya ia adalah satu perlawanan yang menarik untuk ditonton oleh penyokong dan semua peminat sukan bola sepak.

"Tahniah buat semua pemain Selangor, mereka berhak menang kerana telah bekerja keras sejak dua tiga minggu lepas walaupun ditimpa beberapa keadaan menyedihkan seperti kecederaan dan penggantungan tapi ia adalah kerjasama kita semua," katanya pada sidang media pascaperlawanan malam tadi.

Pada aksi malam tadi, kapten pasukan Harith Haiqal meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-30 sebelum Ali Olwan melebarkan kedudukan tiga minit kemudian.

Jeonbuk berjaya memecah penguasaan Selangor menerusi jaringan Kwong Chang-hoon pada minit ke-40 dan kedudukan 2-1 itu kekal hingga wisel penamat, menjadikan ia kekalahan pertama pasukan pelawat dalam perlawanan peringkat kumpulan itu.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Selangor melangkah ke kedudukan pertama dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan, diekori rapat Jeonbuk dengan enam mata, Muangthong United dari Thailand di tempat ketiga dengan dua mata manakala Dynamic Herb Cebu dari Filipina tercorot dengan satu mata.

Sementara itu, Ali yakin Selangor mampu mengekalkan kedudukan utama dan layak ke pusingan kalah mati.

"Sudah tentu kita boleh kekalkan prestasi dan kedudukan kumpulan, terima kasih kepada pasukan, pemain, dan barisan kejurulatihan. Insya-Allah kita akan melangkah ke pusingan seterusnya," kata pemain kelahiran Jordan berusia 24 tahun itu.

Selangor akan ke Korea Selatan untuk perlawanan menentang Jeonbuk Hyundai Motors manakala Dynamic Herb Cebu akan membuat perhitungan dengan Muangthong United di Manila dengan kedua-dua perlawanan berlangsung pada 7 Nov.

-- BERNAMA