TONGGAK penting Kedah Darul Aman (KDA), Habib Haroon, bakal berhijrah keluar daripada saingan Liga Super Malaysia selepas hampir empat musim bermain di Malaysia bersama dua kelab berbeza.

Menurut laporan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, pemain berusia 23 tahun itu mengucapkan selamat tinggal kepada Sang Kenari susulan mencapai persetujuan bersama pihak pengurusan untuk menamatkan kontrak lebih awal.

Sebelum ini, pemain kelahiran Bahrain itu mewakili skuad Terengganu selama tiga musim sebelum berpindah ke kelab utara Tanah Air bagi meneruskan cabaran bersama ketua jurulatih, Nafuzi Zain.


Sebagai rekod, Habib sudah melakukan 85 penampilan dan menjaringkan empat gol dalam semua kejohanan sewaktu bermain di Liga-M.

Difahamkan, pasukan Sitra menjadi destinasi terbaru Habib bagi meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak di Liga Premier Bahrain. -- Stadium Astro