VINCENT Kompany berkemungkinan melakukan penampilan pertama bersama Manchester City sejak dua bulan lalu untuk berdepan Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.

City beraksi tanpa kelibat kapten mereka - yang dibelenggu dengan kecederaan yang berpanjangan.

Ketiadaan Kompany menyaksikan John Stones dan Nicolas Otamendi melengkapkan jentera pertahanan Pep Guardiola, namun dilihat tidak begitu memberangsangkan.

Bercakap pada sidang media pada Jumaat, Guardiola mendedahkan Kompany berada dalam persiapan untuk melakukan penampilan semula di Goodison Park.

"Kompany sudah kembali - saya berharap dia akan terus beraksi bersama pasukan sehingga penghujung musim ini," kata Guardiola.

"Dia merupakan seorang pertahan yang berkualiti, seorang ketua kepada pemain-pemainnya.

"Tetapi kecederaan yang dialaminya sangat mengecewakan tetapi dia seorang pemain yang cekal, saya tidak mahu memberikan tekanan kepadanya.

"Saya mahukan keseimbangan, lebih kawalan dan saya percaya Kompany mampu melakukannya untuk pasukan saya."