MELAKA: Suasana di sebuah pusat beli belah terkenal di Banda Hilir, di sini kecoh seketika apabila dua lelaki berjaket hitam tekad melakukan rompakan kedai emas ketika pusat beli-belah berkenaan dipenuhi pengunjung, petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang tular memaparkan dua lelaki yang memakai topi, jaket hitam dan topeng muka  itu memasuki premis di tingkat bawah bangunan.

Video berdurasi satu minit dan 21 saat menunjukkan penjenayah berkenaan mengacukan senjata kepada dua pekerja wanita premis kedai emas itu.

Suspek cuba menakut-nakutkan pekerja dan meminta mereka menyerahkan barang kemas yang dipamerkan di kaunter, namun kedua-dua pekerja hanya mampu mundar-mandir dalam ketakutan.

Salah seorang daripada suspek  dilihat melompat memasuki kaunter untuk cuba membawa lari lebih banyak barang kemas sebelum bertindak meninggalkan premis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Kes bagaimanapun masih dalam siasatan," katanya ringkas.