JURGEN Klopp berkata dia tiada masalah jika Liverpool tidak bergiat aktif dalam jendela perpindahan bulan ini kerana pemilik pasukan itu, Fenway Sports Group (FSG) melakukannya demi kepentingan terbaik kelab berkenaan.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu jelas kekurangan pemain musim ini, terutama di bahagian pertahanan tengah, apabila Virgil van Dijk dan Joe Gomez terpaksa berehat panjang manakala Joel Matip pula masih bergelut mendapatkan kecergasan.

Klopp berkemungkinan besar tidak dapat menambah pemain baru ke dalam skuadnya tetapi pengurus itu faham bahawa sukar untuk melakukan urusan jual-beli pemain pada pertengahan musim biarpun sebelum terkesan daripada segi kewangan berikutan pandemik koronavirus.

Pengurus Liverpool itu menegaskan bahawa dia senada dengan pemilik kelab itu biarpun kekurangan pemain akan mengganggu perjalanan mereka dalam pemburuan trofi.

"Pada waktu yang baik, semua menganggap bahawa pemilik kami amat pemurah -- 'Oh Tuhan, pembelian yang besar, apa-apa sahaja' -- dan ketika waktu buruk, semua mengganggap mereka benar-benar kedekut -- mungkin kerana mereka datang dari negera berbeza -- tetapi mereka tidak, mereka benar-benar mengambil berat dengan kelab ini dan kejayaannya.

"Dan ia satu pemahaman mengenai keadaan kami. Mereka dapat nampak dengan jelas perkara sama yang saya nampak mengenai pemain dan perkara yang tidak diperlukan -- bukan seperti jika saya kata 'Jika dapat pertahanan tengah baru amat menarik' dan mereka kata 'Wah, pertahanan tengah, biar betul? Kenapa?'.

"Ia amat jelas, semuanya ada di meja, kami sedang berusaha mengenainya. Ia adalah situasinya dan apa yang lebih penting daripada itu, kami tidak akan melalui jendela perpindahan Januari dengan mudah, kami tidak memiliki wang seperti yang kami perlukan.

"Ia satu jendela perpindahan yang kelab lain akan kata. 'Tidak, kami mempunyai cukup (wang) untuk bertahan', jadi kami tidak akan melakukan apa-apa terhadap sasaran kami.

"Ia tiada kena-mengena dengan kebimbangan (sama ada ia akan memberikan impak terhadap peluang memenangi gelaran) atau tidak. Ini adalah faktanya.

"Tugas saya adalah untuk menghadapi keadaan ini, di mana saya sentiasa melakukannya. Jika dunia masih normal seperti dulu, kami akan lakukan segala-galanya untuk melakukan perkara yang betul tetapi dunia sekarang tidak berada di tahap normal, jadi saya tidak faham mengapa kita secara berterusan mahu menganggap bola sepak tidak sama seperti isu lain di seluruh dunia," katanya.


Liverpool akan bersaing dalam Piala FA awal pagi esok tetapi status perlawanan dengan Aston Villa itu masih menjadi tanda tanya susulan peningkatan kes positif di kem lawan berkenaan.

Villa mengumumkan semalam bahawa mereka telah menutup pusat latihan disebabkan virus berkenaan manakala Persatuan Bolasepak England (FA) akan membuat keputusan sama ada perlawanan itu akan diteruskan atau tidak.