KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar dapat memberikan peruntukan yang lebih kepada badan induk itu dan persatuan sukan lain yang memiliki potensi menyumbang pingat buat negara.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, peruntukan itu penting dalam membantu pembangunan lebih pesat sukan negara.

"Hari ini wang ringgit sangat penting untuk tingkatkan prestasi skuad negara. Sekiranya ada bantuan lebih untuk 2023, ia bukan sahaja boleh digunakan sebagai ganjaran kepada pemain, malah juga menyediakan fasiliti terbaik kepada skuad kebangsaan," katanya.

Subahan ditemui pemberita pada majlis penghargaan Skuad Piala Sultan Azlan Shah dan Skuad Piala Asia Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita, di sini, hari ini.

Terdahulu pada majlis itu, pemain hoki kebangsaan menerima ganjaran berjumlah kira-kira RM300,000 daripada KHM susulan kejayaan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) selain muncul naib juara Piala Asia.

Skuad Malaysian Tigers melakar sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian selama 39 tahun dengan menjulang trofi PSAS selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 pada perlawanan akhir, November lepas.

Turut diraikan ialah pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara yang menampilkan aksi cemerlang, masing-masing meraih gelaran juara dan tempat ketiga ketika menyertai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia di Bangkok, Thailand Ogos lepas. - BERNAMA