PHNOM PENH: Faktor dendam tidak sesekali akan mempengaruhi bekas ketua jurulatih pasukan hoki wanita kebangsaan Muhammad Dharma Raj Abdullah dalam memuktamadkan tawaran menjadi warganegara Indonesia.

Pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia itu berkata tiada rasa dendam mahupun rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) biarpun terlalu kecewa terhadap layanan yang diterima di Malaysia sebelum ini.

Beliau yang juga pengendali kedua-dua skuad hoki dalam dewan serta padang lelaki dan wanita Indonesia berkata konflik bersama KHM memaksa beliau mengambil keputusan membawa diri meninggalkan keluarga dan pasukan kesayangannya untuk ke Indonesia sebelum melalui saat sukar di sana.

"Situasi menjadi sangat tegang pada waktu (konflik) itu, tetapi saya tidak berdendam walaupun kecewa sangat dengan apa yang berlaku kerana saya harus pergi tinggalkan keluarga (ke Indonesia) dan pasukan kebangsaan yang saya bawa selama bertahun-tahun, ia sangat menyedihkan.

"Saya tiada pilihan waktu itu, saya pergi macam itu saja, saya sangat susah di Jawa Barat semasa COVID-19, gaji terkesan, tidak boleh balik, saya merana hidup sendirian selama 18 bulan di sana sehingga mengalami kemurungan," katanya kepada Bernama di sini.

Semalam, Muhammad Dharma yang lebih mesra disapa Dharma Raj mendedahkan beliau ditawarkan kewarganegaraan Indonesia melalui Federasi Hoki Indonesia bagi meneruskan usaha membangun dan memajukan pasukan kebangsaan lelaki dan wanita republik itu.

Menurutnya rasa cinta terhadap keluarga hoki Indonesia yang menerima beliau selepas kontrak bersama KHM tamat pada Disember 2019, mendorongnya mempertimbangkan tawaran yang diberi.

Beliau memutuskan untuk tidak memohon kembali jawatan sebagai jurulatih skuad hoki wanita negara kerana berasa seperti diaibkan susulan terdapat dakwaan dirinya berpaling tadah terhadap KHM.

Mengulas lanjut, Dharma Raj berkata beliau sentiasa rasa terhutang budi dengan kerajaan Malaysia terutama Majlis Sukan Negara (MSN) atas segala bantuan dan sokongan yang diberikan selama membimbing pasukan negara.

"Saya rasa kerajaan Malaysia bantu dengan membelanjakan hampir sejuta ringgit untuk naikkan saya sebagai jurulatih, mereka hantar saya ke Jerman, Belanda, Argentina dan India, jadi dalam fikiran saya sentiasa bersyukur terhadap kerajaan Malaysia dan MSN," kata jurulatih berpengalaman berusia 53 tahun itu.

Pada Mac 2021, Dharma Raj dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia dengan kontrak hingga Disember 2025, selepas 10 bulan memegang jawatan pengarah teknikal hoki Wilayah Jawa Barat.

Prestasi hoki Indonesia menunjukkan peningkatan mendadak sejak kehadiran Dharma Raj dan terbaharu beliau membawa pasukan dalam dewan lelaki republik itu mencipta sejarah merangkul emas sulung di Sukan SEA di sini, dengan menewaskan Malaysia di final.

Sebelum itu, pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita Indonesia menamatkan saingan Piala Asia 2022 masing-masing di kedudukan keempat dan naib juara, manakala skuad hoki padang lelaki dan wanita Indonesia pula akan beraksi di Sukan Asia 2023.

Bersama Malaysia pula, antara kejayaan diraih Dharma Raj bersama Malaysian Tigress ialah merangkul pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain mencipta sejarah muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia dan menduduki tempat kelima pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Beliau juga pernah membawa pasukan hoki remaja lelaki kebangsaan meraih tempat keempat pada Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India.

-- BERNAMA