Atlet perahu layar negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan atlet boling padang wanita negara, Nurul Alyani Jamil dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UiTM 2018 di sini malam tadi.

Kedua-dua pemenang masing-masing membawa pulang sijil, trofi serta hadiah wang tunai RM1,000 yang disampaikan oleh Naib Canselor UiTM Prof. Ir. Dr Mohd Azraai Kassim pada majlis anugerah tersebut.

Khairulnizam sebelum ini pernah muncul sebagai tiga pelayar terbaik Asia dalam acara Laser Standard lelaki di Sukan Olimpik Rio 2016 dan layak untuk temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam pada itu, Nurul Alyani mencipta kejutan apabila menewaskan pemain terkemuka Scotland, Dee Hoogan untuk mara ke final Kejohanan Juara-Juara Perseorangan Dunia 2018 di Sydney, Australia, 3 Nov lepas.

-- BERNAMA