GEORGE TOWN: Kemenangan sulung 3-0 di laman sendiri ketika menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC nyata amat bermakna dan memberi motivasi lebih tinggi buat pasukan Penang FC untuk terus mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan akan datang.

Tiga mata berharga dikutip semalam itu juga cukup melegakan terutama penyokong yang telah lama menantikan persembahan bertenaga daripada pasukan itu selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Ketua jurulatih Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhili berkata kejayaan dilakar di Stadium Bandaraya malam tadi turut dilihat penting kerana tidak mahu terus ketinggalan mata dan ia boleh menjejaskan kedudukan dalam saingan liga.

"Sebelum perlawanan, saya beritahu semua pemain bahawa kita belum dapat jaringkan gol musim ini di Stadium Bandaraya, jadi pemain ambil tanggungjawab itu dan berjaya mendapatkan kemenangan.

"Saya berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan setiap pemain dan lebih penting tiga jaringan dihasilkan dan buat kali keempat kita tidak bolos. Saya harap kemenangan malam ini menjadi motivasi terbaik untuk kita terus bersaing dengan pasukan-pasukan yang lebih besar selepas ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat.

Bekas pemain kebangsaan itu berharap anak buahnya akan mengekalkan momentum berkenaan ketika menentang Kuching FC di Stadium Negeri Sarawak pada 11 Ogos depan.

Beliau berkata fokus pasukan kini adalah untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pihak pengurusan, justeru beliau mengharapkan setiap pemain dapat mengambil tanggungjawab dengan terus mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

Sementara itu, KDN FC terus berdepan situasi sukar apabila mengalami kekalahan kali keenam daripada tujuh perlawanan dan hanya menang sekali ketika menentang PDRM pada 23 Jun lepas sekali gus meletakkan mereka di kedudukan tercorot dalam saingan Liga Super.

Penolong Ketua Jurulatih KDN FC Rezal Zambery Yahya berkata pihaknya tidak boleh membiarkan pasukan terus dirudung kekalahan demi kekalahan, jadi seluruh pasukan perlu bekerja lebih keras dan bangkit segera supaya mereka boleh terus bersaing apatah lagi bakal berdepan Selangor FC yang kini berada di tangga kedua liga pada perlawanan seterusnya.

"Semua posisi daripada penjaga gol hingga penyerang perlu diperbaiki kerana kita hanya ada beberapa hari saja lagi sebelum bertemu Selangor yang kita tahu merupakan sebuah pasukan kuat," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Penang FC berjaya mengutip tiga mata penuh selepas membenam KDN FC 3-0 menerusi jaringan Rodrigo Da Silva Dias dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Satu lagi gol dihasilkan kapten pasukan Rafael Vitor menerusi sepakan penalti, sekali gus membolehkan Penang FC naik ke tangga ke-7 liga dengan meraih sembilan mata daripada tujuh perlawanan.

-- BERNAMA