JAKARTA: Indonesia menghantar wakil khasnya untuk bertemu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), susulan kemelut yang tercetus ekoran penolakan penyertaan pasukan Israel di kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) oleh dua orang gabenor di republik itu.

Presiden Joko Widodo berkata dalam satu kenyataan ketua umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) Erick Thohir telah diutus untuk bertemu dengan jawatankuasa FIFA untuk mencari penyelesaian yang terbaik.

Beliau memberi jaminan penyertaan pasukan Israel tiada kaitan dengan pendirian politik luar negeri Indonesia terhadap Palestin kerana sokongan kepada Palestin kekal utuh.

Kesepakatan juga dicapai dengan Duta Besar Palestin ke Indonesia bahawa FIFA mempunyai peraturan yang wajib dipatuhi ahlinya, justeru "jangan mencampur aduk urusan olahraga dan urusan politik."

"FIFA telah mengetahui adanya penolakan penyertaan pasukan Israel di Piala Dunia B-20 tetapi kita baik kerajaan mahupun PSSI masih terus berusaha agar ada penyelesaian yang berkenaan," katanya merujuk kepada bantah Gabernor Bali Wayan Koster dan Gabernor Jawa Tengah Ganjar Pranowo baru-baru ini.

Indonesia dipilih sebagai penganjur pertandingan edisi 2023 pada Oktober 2019 sedangkan penyertaan pasukan Israel hanya diketahui pada Julai 2022.

Kejohanan Piala Dunia B-20 dijadualkan bermula dari 20 Mei hingga 11 Jun membabitkan 24 negara dan berlangsung di enam lokasi iaitu Bali, Bandung, Jakarta, Palembang, Solo dan Surabaya.

Media tempatan melaporkan FIFA secara rasmi membatalkan undian kumpulan Piala Dunia B-20 yang bakal diadakan pada 31 Mac di Bali.

-- BERNAMA