ARSENAL 1 NORWICH CITY 0
Mikel Arteta percaya dua minggu terakhir ini telah menjadi satu pembelajaran penting buat Arsenal selepas pasukannya meraih tiga mata pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan menewaskan Norwich City 1-0 di Stadium Emirates malam tadi.
The Gunners akhirnya menemui jaringan dan mengelakkan rekod terburuk tanpa sebarang gol selepas empat perlawanan pertama liga sepanjang sejarah mereka.
Tolakan mudah Pierre-Emerick Aubameyang sudah cukup untuk menjadi pemisah -- gol kelimanya daripada tiga perlawanan liga menentang The Canaries -- untuk pasukan tuan rumah itu melonjak ke tangga ke-16.
Arteta gembira dengan usaha yang dilakukan pasukannya, yang kini melebarkan rekod tanpa kalah sepanjang bertemu Norwich kepada lapan perlawanan liga, di mana ia dilihat sebagai satu kejayaan yang dicapai sepanjang dua minggu ini.


"Kami agak bergelut tetapi saya sedar kami boleh menang sekiranya bermain seperti ini," kata Arteta kepada BBC Sport selepas perlawanan itu.
"Selepas tiga kekalahan, segalanya menjadi rumit. Saya perlu katakan tempoh 10 hingga 14 hari ini adalah waktu terbaik dalam karier profesional saya. Bukan yang paling mudah tetapi paling baik.
"Anda mempelajari banyak perkara pada waktu sukar, siapa ada bersama anda. Pada waktu sukar, anda dapat lihat tahap organisasi dan penyokong yang kami ada.
"Mereka bersedia untuk menderita hari ini tetapi sentiasa memberikan sokongan buat pasukan. Hari ini, segala yang berlaku pada minggu lalu datang bersama.
"Kami perlu memperbaiki banyak perkara tetapi hari ini, kami melakukan tujuh pertukaran dan ia sudah menunjukkan perbezaan," katanya.