Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata beliau menghargai persatuan-persatuan sukan yang sentiasa menjaga kebajikan atlet di bawah naungan mereka, dan berharap kerjasama erat semua pihak terlibat dapat diteruskan.
"Kerjasama sebegini amat penting bagi memastikan pasukan dan atlet OKU negara mendapat sokongan yang luas, bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga sektor korporat dan yayasan," katanya semasa Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Bola Sepak Cerebral Palsy Malaysia di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata beliau berpuas hati dengan Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang memberi penekanan terhadap pembangunan sukan OKU meskipun ia memerlukan kos yang tinggi.
"Saya rasa ini merupakan bajet yang komprehensif dalam usaha dan persediaan untuk temasya sukan, selain isu pembangunan sukan itu sendiri, dan saya mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk menyokong inisiatif ini.
"Sukan adalah mahal, namun kita perlu menyediakan yang terbaik untuk memastikan kemajuan sukan OKU di negara kita," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Cerebral Palsy Malaysia Abdul Majid Mat berharap pasukan negara dapat mengekalkan prestasi sedia ada menjelang temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2026 di Korat, Thailand.
"Saya harap prestasi mereka dikekalkan dan mungkin akan menambah pemain baharu, terutama golongan OKU yang berpotensi untuk menyertai pasukan bola sepak negara," katanya.
Pada temasya APG 2023 di Kemboja, skuad bola sepak Cerebral Palsy lelaki berjaya menamatkan kemarau pingat emas dalam tempoh sedekad selepas menewaskan Indonesia.
-- BERNAMA