Juara bertahan Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim mara ke separuh akhir selepas mengalahkan South China FC 2-1 pada perlawanan suku akhir kedua Piala AFC 2016 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, dekat sini, malam tadi.

Pasukan kendalian Mario Gomez itu menang dengan agregat 3-2 selepas perlawanan suku akhir pertama menentang kelab itu yang menyaksikan mereka seri 1-1 di Stadium Mongkok, Hong Kong, pada 13 Sept lalu.

Skuad Harimau Selatan itu memperolehi gol pertama lewat perlawanan pada minit ke-57, hasil jaringan Juan Martin Lucero yang menyempurnakan tendangan Azammuddin Akil dari pintu kanan gawang.

Gol kedua disumbangkan oleh Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-87 yang menanduk masuk ke pintu gol hasil tendangan sudut Safiq Rahim.

Sebelum itu, skuad Harimau Selatan berputih mata apabila tendangan penalti oleh kapten pasukan JDT itu pada minit ke-50 yang berjaya ditampan penjaga gol pasukan pelawat, Tsang Man Fai.

Tuan rumah memperolehi peluang berkenaan apabila Diaz dikasari Tsang di kotak penalti pada minit ke-49.
Meskipun kelab Hong Kong yang dibimbing oleh Jose Ricardo Rambo itu sering melakukan serangan, ia tidak dapat membolosi kubu pertahanan JDT yang setakat ini memegang rekod 21 perlawanan tanpa kalah di kubu sendiri.

Terdahulu, separuh masa pertama banyak menyaksikan pasukan pelawat menjaga kemas benteng pertahanan mereka sehinggakan beberapa peluang tuan rumah berjaya digagalkan.

Pada minit ke-90 keadaan menjadi sedikit kecoh apabila penyerang dari kelab Hong Kong itu, Chan Wai Ho menendang tepat ke arah tempat duduk pemain simpanan dan jurulatih JDT menyebabkan mereka sedikit berang.

Gol tunggal South China AA pula dijaringkan oleh Nikola Komazec pada saat-saat akhir lima minit masa kecederaan pada separuh masa kedua perlawanan.

Skuad yang mencipta hatrik muncul sebagai pasukan pertama yang menjuarai Liga Super buat kali ketiga berturut-turut, bakal berdepan dengan sama ada Tampines Rovers atau Bengaluru FC yang akan bertemu di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam esok.

Buat masa ini, Bengaluru FC mempunyai kelebihan jaringan dengan 1-0. -- BERNAMA