Kemenangan Harimau Selatan itu bermula seawal minit ketiga dengan rembatan dalam kotak Oscar Arribas hasil hantaran jauh Natxo Insa untuk menewaskan penjaga gol Sikh Izhan Sikh Azman.
Penyerang baharu JDT Jorge Obregon menggandakan jaringan pada minit 41 selepas menerima hantaran Arif Aiman Mohd Hanapi dan meletakkan pasukan itu di kedudukan selesa.
JDT berpeluang menambah jaringan pada minit kecederaan separuh masa pertama apabila dihadiahkan penalti menerusi pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh pengadil Razlan Joffri Ali apabila kapten pelawat Rafael Vitor mengasari Obregon, namun tendangan penalti yang diambil Arif Aiman tersasar melepasi palang.
Tidak menunggu lama, babak kedua menyaksikan Obregon sekali lagi menambah jaringan dalam kotak buat JDT selepas bijak mengambil peluang merembat masuk bola muntah yang cuba diselamatkan Sikh Izhan.
Gol keempat JDT hadir apabila pengadil Razlan menghadiahkan penalti selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran oleh pemain Penang FC Richmond Ankrah terhadap Bergson Da Silva dan gol disempurnakan penyerang kelahiran Brazil itu pada minit ke 68.
Juara bertahan itu melengkapkan jaringan terakhir juga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Arif Aiman selepas semakan VAR mendapati pemain pertahanan Muhammad Adib Abdul Ra'op mengasak Muhammad Syahmi Safari pada minit keempat masa kecederaan.
Selain Obregon, pengendali Harimau Selatan Hector Bidoglio menguji pemain baharu Enzo Lombardo, Iker Undabarrena dan Eddy Israfilov yang membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia.
Pengendali dari Argentina itu turut mengambil peluang merehatkan pemain utama seperti gandingan Heberty Fernandes, Afiq Fazail dan Jordi Amat.
-- BERNAMA