Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, kekalahan besar itu memberikan ruang kepada skuad Gergasi Merah untuk memperbaiki prestasi perlawanan akan datang.
Beliau juga percaya pemain Selangor FC telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan yang didominasi sepenuhnya oleh Harimau Selatan.
"Kekalahan yang sukar diterima, satu perasaan yang sedih untuk seluruh kelab dan juga semua yang mengikuti Selangor. Tetapi, dalam masa saman pemain dan juga pasukan telah beri yang terbaik dalam perlawanan tadi.
"Persiapan dalam satu, dua minggu ini sangat baik. Namun, sudah tentu pengalaman JDT lebih luas dan mereka nampak selesa bermain di final.
"Bagi pemain Selangor, kita kena belajar daripada kekurangan yang kita ada dalam perlawananan ini dan kita perbaiki untuk perlawanan akan datang," katanya.
Dalam perlawanan itu, Selangor nyata bukan tandingan JDT apabila terpaksa akur dibolosi sebanyak enam kali sekali gus meranapkan harapan untuk meraih trofi Piala FA.
Dalam pada itu, Johan Kamal turut memohon maaf kepada peminat pasukan itu susulan kekalahan besar tersebut.
"Kita akan bekerja keras dan cuba lagi dalam perlawanan akan datang termasuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Maaf buat peminat kerana kita gagal beri keputusan lebih baik kali ini," katanya. - Sinar Harian