KUALA LUMPUR: Beberapa isu berkaitan jantung dalam kalangan atlet profesional dan kesan pasca COVID-19 sudah pasti membimbangkan Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum penganjuran pelbagai acara sukan pada tahun ini.

Sehubungan itu, atlet kebangsaan yang bersiap sedia ke Sukan SEA Hanoi dari 12 hingga 23 Mei, Sukan Komanwal Birmingham (28 Julai hingga 8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10 hingga 25 Sept), perlu menjalani penilaian kardiovaskular terutama bagi sukan berintensiti tinggi.

Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Dr SS Cheema berkata pihaknya telah membincangkan perkara itu dengan terperinci iaitu syarat minimum bagi sukan berintensiti tinggi seperti bola sepak, hoki, badminton dan skuasy ialah atlet sekurang-kurangnya perlu menjalani penilaian jantung.

Beliau berkata MOM dan Institut Sukan Negara (ISN) akan menjalin kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) untuk mendapatkan diskaun sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat IJN.

"Jika anda sudah melakukan eko (ekokardiogram), anda tidak perlu lagi risau mengenainya untuk tempoh 4 hingga 5 tahun. Ia amat penting kerana terlalu banyak insiden kematian mengejut berlaku baru-baru ini, ini mungkin komplikasi COVID-19 misalnya miokarditis (keradangan otot jantung)," katanya pada Rabu.

Beberapa kes berkaitan jantung berprofil tinggi telah dilaporkan baru-baru ini, dan yang paling menonjol ialah insiden pemain bola sepak Denmark Christian Eriksen mengalami serangan jantung semasa perlawanan menentang Finland pada Jun tahun lepas dalam saingan Euro 2020 meskipun tidak pernah berdepan isu kesihatan sebelum itu, yang mengejutkan semua pihak di seluruh dunia.

Malah arena sukan tempatan turut dikejutkan dengan kematian pemanah negara Haziq Kamaruddin pada hari kedua Aidilfitri Mei tahun lepas, yang menurut Kementerian Kesihatan adalah disebabkan komplikasi saluran darah jantung tersumbat akibat aterosklerosis arteri koronari.

Selain itu, Dr Cheema berkata Lembaga Eksekutif MOM telah mengarahkan jawatankuasa tersebut untuk bekerjasama rapat dengan ISN mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan langkah membendung COVID-19 untuk menghadapi temasya sukan utama terbabit termasuk 'gelembung keselamatan' selama dua minggu sebelum berlepas ke Sukan SEA.

Beliau berkata adalah penting untuk memiliki SOP terutama dengan peningkatan jumlah kes harian selain penularan wabak itu dalam pasukan hoki lelaki dan wanita sebelum kejohanan Trofi Juara-Juara Asia serta pemain bola sepak yang beraksi pada Kejohanan Remaja Bawah 23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Kemboja.

"Para atlet dan pegawai perlu fokus mulai sekarang kerana jika disahkan positif, ia bukan sahaja menjejaskan penyertaan mereka tetapi juga seluruh kontinjen yang lain. Segala kerja keras dan peluang untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka akan menjadi sia-sia.

"SOP semasa keiga-tiga temasya sukan mungkin sedikit berbeza mengikut pihak berkuasa kesihatan negara tuan rumah dan situasi semasa COVID-19. Apa yang kita boleh jangkakan ialah ujian saringan COVID-19 sebelum perlepasan, semasa ketibaan dan secara harian terhadap atlet serta pegawai," katanya.

Mengulas langkah antidoping, Dr Cheema, yang juga ahli Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Asia serta Persekutuan Sukan SEA, berkata Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) telah melakukan usaha yang hebat dalam melakukan ujian ke atas atlet serta memerangi mereka yang menipu.

Beliau juga berkata dua jenis kesalahan doping paling biasa di Malaysia adalah berkaitan pengambilan 'suplemen' mengandungi steroid dan pil pelangsing yang mengandungi bahan terlarang tanpa berunding dengan ISN.

"Kami sudah berkali-kali memaklumkan atlet agar tidak mengambil sebarang suplemen tanpa berunding dengan ISN. Tiada suplemen di dunia ini yang akan meningkatkan prestasi anda dengan begitu hebat, melainkan anda diberitahu oleh seseorang untuk mengambil ubat-ubatan tertentu bagi meningkatkan prestasi.

"Bagaimanapun, anda tidak akan terlepas, anda pasti ditangkap, ujiannya amat ketat pada masa ini, jadi anda tidak mungkin terlepas. Sekiranya ditangkap, anda bukan sahaja mengecewakan keluarga dan persatuan tetapi juga negara.

"Juga jangan lupa bahawa wang pembayar cukai telah dilaburkan untuk melatih anda, jadi jangan biarkan semuanya menjadi sia-sia," katanya yang berharap ADAMAS akan memastikan keputusan ujian prapertandingan diperoleh sebelum atlet berlepas ke temasya sukan terbabit.

-- BERNAMA