Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebelum ini secara terbuka enggan melepaskan Afiq Azmi, Ahmad Hazwan dan Robert Cornwaite menyertai pasukan Pilihan Malaysia kendalian Dollah Salleh atas alasan mahu menjaga prestasi bagi mengharungi jadual padat Liga Malaysia.

Malah pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari bersedia berdepan sebarang tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung tindakan mereka itu.

Sebagai rekod, pada 2008 Selangor pernah dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dan didenda RM20,000 oleh FAM berikutan empat pemain mereka meninggalkan klinik bola sepak Ian Rush.

Dollah yang ketika itu jurulatih 'The Red Giants' dikenakan denda RM10,000 selain empat pemain iaitu Mohd Safee Sali, Indra Putra Mahyuddin, Akmal Rizal Rakhli dan Amirul Hadi Zainal, masing-masing dikenakan denda RM1,000 setiap seorang.