Skuad Harimau Malaya menunjukkan semangat juang yang tinggi namun itu belum berupaya untuk meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014 apabila Thailand mendakap gelaran itu dengan aggregat 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Di hadapan puluhan ribu penyokong negara, pasukan kebangsaan pimpinan Dollah Salleh bermula garang pada separuh masa pertama pada aksi kedua perlawanan akhir dengan ledakan dua jaringan gol melalui sepakan penalti oleh Safiq Rahim pada minit keenam dan kemudian melalui tandukan bergaya Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-46.

Pada minit ke-57 separuh masa kedua menyaksikan Safiq sekali lagi tidak mensia-siakan peluang sepakan percuma apabila rembatan kencangnya terus menewaskan penjaga gawang Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Meskipun skuad negara mengekalkan momentum kesungguhan, pasukan lawan yang dikenali sebagai skuad Gajah Perang itu masih bertahan dan akhirnya meledakkan gol pertama mereka melalui rembatan pemain penyerang. Charyl Yannic Chappuis pada minit ke-81.


Luka yang dialami Harimau Malaya itu ditambah lagi lima minit kemudian apabila Chanathip Songkrasin membolosi barisan pertahanan Malaysia lalu menjaringkan gol kedua buat Thailand.

Beberapa kad kuning dilayangkan oleh pengadil sepanjang perlawanan malam tadi kepada pemain kebangsaan termasuk Afif Amiruddin, Amri Yahyah, Indra Putra Mahayuddin dan Norshahrul Idlan Talaha.

Kem penyokong Harimau Malaya terubat sedikit apabila penyerang negara, Safiq Rahim dinobat sebagai Penjaring Gol Terbanyak kejohanan selepas perlawanan yang berlangsung selama lebih kurang 94 minit itu.

Sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2014 ini, Safiq berjaya menjaringkan sebanyak enam gol.

Sementara itu, pemain tengah Thailand, Chanathip Songkrasin diumumkan sebagai penerima Anugerah MVP bagi kempen Piala AFF Suzuki kali ini.