KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan projek Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Bukit Jalil disegerakan.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Bukit Jalil disegerakan dengan peruntukan sekitar RM76 juta.
  • Proses tender bagi pembinaan sekolah tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh teliti.
  • Pembinaan SMISTA dijadualkan bermula suku kedua 2025 dan dijangka siap pada 2028.


Beliau juga mahu proses tender bagi projek pembinaan sekolah itu dilaksanakan dengan penuh teliti.

"Saya mahu SMISTA dilaksanakan segera, peruntukannya besar sekitar RM76 juta.

"Saya minta (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk) Dr (Mohd) Na'im (Mokhtar) dapatkan laporan dalam tempoh satu minggu tentang perkembangannya," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan SMISTA di sini hari ini.

SMISTA, yang ditubuhkan pada 2011, menawarkan pendidikan berteraskan agama serta pendidikan sains moden dan konvensional bertujuan melahirkan para huffaz yang mampu mengimbangi kehidupan dunia serta ukhrawi.

Pembinaan SMISTA di Bukit Jalil dijadualkan bermula dalam suku kedua 2025 dan dijangka siap pada 2028.

-- BERNAMA