ERLING Haaland dilaporkan hampir untuk menandatangani lanjutan kontrak yang lumayan bersama Manchester City.

Haaland telah menikmati permulaan yang menakjubkan untuk musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), menjaringkan tujuh gol dalam tiga perlawanan pembukaan City.

Akhbar Sepanyol, Marca melaporkan bahawa Haaland dijangka akan menyerahkan masa depannya kepada juara EPL itu dengan menandatangani kontrak baharu melalui perjanjian sedia ada yang akan tamat pada musim panas 2027.

Menurut laporan itu, Man City akan menjadikan Haaland sebagai pemain dengan gaji tertinggi dalam EPL dengan tangga tertinggi gaji ketika ini dipegang rakan sepasukan Kevin De Bruyne.

De Bruyne dilaporkan menerima gaji 425,000 pound (RM2 juta) seminggu di City, manakala Haaland kini memperoleh gaji asas 375,000 pound  (RM1.8 juta) setiap minggu.

Bagaimanapun, Mail Sport difahamkan bahawa walaupun Haaland akan menerima gaji pokok yang sejajar dengan pendapatan tinggi lain di Etihad, beberapa bonus yang besar dan hampir dijamin menyaksikan kenaikan gaji mingguannya melebihi paras 850,000 pound (RM4 juta).

Marca menyatakan bahawa perjanjian baharu Haaland dijangka mengandungi klausa pelepasan, yang sepatutnya boleh ditebus oleh gergasi Sepanyol, Real Madrid pada masa hadapan.

Haaland telah menikmati kejayaan yang menakjubkan di City apabila telah menjaringkan 97 gol dalam 102 penampilan untuk kelab itu sehingga kini.

Ini termasuk memenangi Kasut Emas EPL dalam dua musim terakhir.

Pemain berusia 24 tahun itu juga pernah memenangi EPL dua kali, Liga Juara-Juara dan Piala FA sepanjang dua musim di kelab itu. -- Sinar Harian