Gol dramatik Luka Jovic memastikan cabaran Serbia dalam Euro 2024 masih bernyawa dengan mengikat Slovenia 1-1 pada minit terakhir perlawanan kedua Kumpulan C di Arena Allianz, Munich malam tadi.
Serbia tewas 0-1 kepada England manakala Slovenia pula terikat 1-1 dalam aksi pertama.
Sedar kemenangan akan mencerahkan peluang mereka ke pusingan berikutnya, kedua-dua pasukan bermain secara terbuka tetapi berhati-hati dengan serangan lawan.
Babak pertama berlangsung agak hambar dengan bola lebih banyak berlegar-legar di kawasan tengah tetapi aksi dalam separuh masa berikutnya menceritakan sebaliknya.
Serbia merangkai empat percubaan tepat ke arah gawang lawan dan Slovenia seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol dan ketua pasukan, Jan Oblak, yang tangkas menggagalkan kesemua percubaan itu.
Jaringan yang ditunggu-tunggu Zmajceki akhirnya tiba pada minit ke-69 apabila Zan Karnicnik bertindak bijak menampan masuk bola lintangan pantas Timi Max Elsnik.
Segalanya seakan-akan memihak Slovenia untuk memenangi perlawanan itu tetapi keazaman yang ditunjukkan barisan Serbia sehingga ke penghujung saingan akhirnya membuahkan hasil pada saat terakhir.
Menerusi satu situasi sepakan penjuru, Jovic menantikan masa yang sesuai sebelum menanduk masuk bola melepasi Oblak dan wisel penamat kemudian dibunyikan sebaik keraian jaringan itu.
Sebagai rekod, dua pasukan teratas setiap kumpulan dan empat pasukan di tangga ketiga terbaik akan layak ke pusingan kalah mati, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan itu masih berpeluang menjelang aksi terakhir masing-masing.
Slovenia seterusnya akan bertemu England manakala Serbia pula akan berdepan Denmark dalam aksi terakhir Kumpulan C.