Pemenang dua kali itu tumbang 2-1 kepada La Roja di Munich.
Skuad kendalian Didier Deschamps, menampilkan permulaan yang cemerlang di Allianz Arena, dengan Randal Kolo Muani menanduk masuk hantaran silang Mbappe pada minit kesembilan.
Bagaimanapun, La Roja membalasnya menerusi jaringan penyamaan Lamine Yamal yang cemerlang 12 minit kemudian sebelum rembatan Dani Olmo membawa skuad Luis de la Fuente ke final.
Berikutan kekalahan itu, penyerang baharu Real Madrid itu mengakui bahawa dia mempunyai kejohanan di bawah par.
"Pertandingan saya? Ia sukar, satu kegagalan. Kami memiliki sasaran untuk bergelar juara Eropah. Saya memiliki cita-cita untuk bergelar juara Eropah. Kami tidak ke final, jadi ia satu kegagalan. Inilah bola sepak.
"Kami perlu melihat ke hadapan. Ia merupakan musim yang panjang. Saya mahu bercuti dan berehat, dan akan kembali untuk saingan akan datang," katanya.
Berdasarkan ulasan tersebut, Petit membalas: "Bagi saya, dia bukan kapten yang baik.
"Kenyataan terhadap rakan sepasukannya, sebagai contoh, apabila dia berkata bola yang baik tidak sampai kepadanya, bahawa dia tidak mahu (Paul) Pogba dalam pasukannya atau bahawa (Antoine) Griezmann tidak mempunyai Euro yang bagus. Adakah peranan kapten untuk menunjukkan kegagalan rakan sepasukannya?
"Dan kemudian, maafkan saya, semua kekecohan di sekeliling topeng selepas hidungnya patah. Siapa peduli! Dia bukan pemain pertama yang bermain dengan hidung patah, dia tidak akan menjadi yang terakhir.
"Dia menuntut banyak perkara untuk mempunyai lilitan ini, dan, bagi saya, dia tidak mempunyai kepimpinan sama ada di dalam atau di luar padang". - Stadium Astro