Skuad kendalian Zlatko Dalic dan Sylvinho tampil dalam perlawanan kedua kumpulan dengan misi kemenangan selepas tewas aksi pertama sebelum ini.
Croatia sebelum ini dijinakkan Sepanyol, 3-0 manakala Albania yang tewas 1-2 kepada Itali tiada pilihan kecuali menang untuk menyalakan peluang mara ke fasa kalah mati.
Pemain gantian Klaus Gjasula muncul wira Albania apabila menyamakan kedudukan pada masa kecederaan hasil rembatan pada minit ke-95.
Jaringan Gjasula yang dimasukkan minit ke-72 menggantikan pencetus gol pertama Qazim Laci menerusi tandukan minit ke-11, menebus semula jaringan sendiri minit ke-76 sebelum itu.
Croatia yang ketinggalan separuh masa pertama berjaya menyamakan kedudukan hasil daripada rembatan Andrej Kramaric pada minit ke-74.
Sebelum itu, Albania mensia-siakan beberapa peluang separuh masa pertama berdepan tekanan gelombang kebangkitan Croatia dijanakan kapten, Luka Modric pada separuh masa kedua.
Croatia akan berdepan Itali di Red Bull Arena, Leipzig manakala Albania melayan Sepanyol di Dusseldorf Arena pada 25 Jun dalam aksi terakhir kumpulan. - Sinar Harian