WALAUPUN laporan kewangan kelab-kelab Premier League ataupun Liga Perdana Inggeris (EPL) menunjukkan pendapatan yang merosot akibat pandemik COVID-19, tak semua kelab dilihat benar-benar terkesan apabila terus mewah berbelanja membeli pemain baharu.

Seperti biasa, juara bertahan, Manchester City tidak pernah mengecewakan penyokongnya dengan membelanjakan ratusan juta pound untuk mendapatkan pemain England, Jack Grealish.

Bayaran perpindahan sebanyak £100 juta City kepada Aston Villa, merupakan yang tertinggi untuk seorang pemain Britain, mengatasi bayaran £87 juta yang dibuat Manchester United kepada Leicester City untuk Harry Maguire.

Penyokong Manchester City, Taleeb Mizad menyambut baik kehadiran Grealish yang dikatakan dapat memperkuatkan lagi skuad bimbingan Pep Guardiola itu.

Namun, Taleeb yang juga presiden bagi kelab penyokong Manchester City Malaysia (MCM), menjangkakan musim yang sukar buat City.

“Kali ni nampak lebih sukar untuk Pep, terutama sekali bila tak ada penyerang utama yang penting untuk pasukan, tambahan lagi kecederaan Foden dan Kevin De Bruyne.

“Ia akan jadi musim yang sukar, dengan bakal menentang Spurs, Arsenal, Leicester, Chelsea dan Liverpool pada awal musim.” kata Taleeb.



Bagaimanapun, Taleeb menjangkakan City mampu mempertahankan kejuaraan EPL dan terus mengejar kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah. Taleeb juga masih berharap the Citizens dapat membeli seorang penyerang yang terbukti mampu menjaringkan gol.

Buat masa ini, Guardiola masih memburu tandatangan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane yang dikatakan bakal menelan belanja sekitar £120 hingga £160 juta.

City akan memulakan kempen EPL musim 2021/2022 dengan bertandang ke London, menentang Tottenham pada Ahad, yang dikendali pengurus baharu, Nuno Espirito Santo.

“Penyokong jangan letak harapan yang tinggi terhadap Nuno, fokus kepada bola sepak dan beri peluang kepadanya,” kata Syahizan Amir, penyokong Tottenham.

“Pemain tidak beraksi di Euro 2020 sudah menjalani latihan dengan Nuno dan kita dapat saksikan pelbagai taktik digunakan dalam perlawanan pra-musim, terutama peranan baharu yang dimainkan oleh Lucas Moura, seakan seorang pemain perancang."

Syahizan yang juga presiden kelab penyokong Tottenham Hotspur Malaysia, Malaysia Spurs, ternyata tidak berpuas hati dengan tawaran yang dibuat oleh City untuk Kane sebelum ini.

“Tawaran yang dibuat oleh City untuk Kane adalah terlalu rendah jika nak dibandingkan dengan bayaran £100 juta untuk mendapatkan Grealish.

“Kane adalah pemain yang membuat assist yang paling tinggi musim lalu, pernah menjadi penjaring terbanyak EPL dan ketua pasukan England, jadi mereka harus meletakkan tawaran yang lebih serius.” jelas Syahizan.


Sementara itu, Chelsea membeli semula penyerang Belgium, Romelu Lukaku, dengan bayaran £97.5 juta kepada Inter Milan, sekali gus mencatat rekod baharu nilai perpindahan untuk kelab itu.

Lukaku pernah menyarung jersi the Blues pada 2011 selepas berhijrah dari Anderlecht, sebelum dijual kepada Everton pada 2014 dengan bayaran perpindahan £28 juta.

Pembelian terbaharu itu yang dibuat pengurus pasukan, Thomas Tuchel itu dianggap amat penting buat penyokong Chelsea, kerana mereka memerlukan seorang penyerang yang mampu menyumbang 30-40 gol semusim untuk berjaya.

“Kalau ikutkan, saya tak gemar membazir duit, tapi kalau nak menang liga, Lukaku adalah kuncinya. Seorang pemain yang boleh menjaringkan dan membantu mencipta lebih daripada 30 atau 40 gol semusim amat penting.” kata Luqman Zainal Abidin, seorang penyokong Chelsea. 

“Buat masa ini, pertahanan Chelsea sudah kukuh, belum capai tahap gandingan Petr Cech, John Terry dan Ricardo Carvalho dahulu, hanya bolos 15 gol semusim, tapi buat masa ini ia sudah memuaskan.” tambah Luqman.

Terdapat sinar baharu buat juara 20 kali, Manchester United apabila pengurusan kelab yang sering dipersalahkan tidak serius dalam pembelian pemain yang berkaliber membuat dua pembelian yang kembali mengukir senyuman kepada penyokongnya.

The Red Devils melengkapkan skuadnya musim ini dengan pembelian Jadon Sancho dari Borussia Dortmund dengan nilai £85 juta dan juga pertahanan Real Madrid, Raphael Varane dengan bayaran awal bernilai £34 juta.

Bagi penyokong United, Omar Azman, sudah tiba masa pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer memenangi sekurang-kurangnya satu trofi.


“Pemain baharu utama, Sancho dan Varane sudah pasti memberi stabiliti dalam kedalaman skuad Manchester United.

“Untuk kekal sebagai pengurus, Ole perlu memenangi sekurang-kurangnya satu trofi dan saya menjangkakan United menjadi pencabar kejuaraan musim baharu ini bersama City dan Chelsea.

“Saya tidak jangka  Liverpool akan mencabar kejuaraan kerana Mohamed Salah dan Sadio Mane akan terlibat dalam Piala Negara Afrika dan ia bakal menggangu prestasi pasukan tanpa dua pemain utama itu,” kata Omar.

Sementara itu, penyokong Liverpool terus gusar dengan keseimbangan pasukan untuk menghadapi lawan musim baharu ini. Salah seorang daripadanya adalah Muzili Aznor Musa.

“Dengan hanya Ibrahim Konate menjadi pemain baharu di Liverpool, ramai peminat gusar akan keseimbangan pasukan untuk menghadapi lawan-lawan musim ini.

“Namun saya tetap optimis dengan skuad yang kita ada sekarang kerana kelab-kelab lain memerlukan masa untuk mendapatkan keserasian di antara pemain.

“Saya berharap pemain-pemain seperti (Jordan) Henderson, (Naby) Keita, (Alex) Chamberlain yang banyak tersisih musim lalu akan lebih cemerlang, serta kembalinya Minamino dengan prestasi terbaik dalam perlawanan pra-musim dapat memperkukuhkan skuad menghadapi musim baru.” kata Muzili, yang berjaya mempertahankan kerusi presiden kelab penyokong All Reds Malaysia baru-baru ini.

Tambah Muzili lagi, Liverpool menghadapi kepincangan di bahagian pertahanan musim lalu dengan kecederaan Virgil van Dijk dan Joe Gomez. Kembalinya dua pemain ini dengan pembelian Konate dari RB Leipzig dengan bayaran £35 juta bakal menguatkan lagi barisan pertahanan the Reds.

Kecederaan bek kiri utama, Andy Robertson pada perlawanan pra-musim minggu lalu pula bakal memberi peluang kepada pertahanan Greece, Kostas Tsimikas untuk menyerlah dalam skuad bimbingan Jurgen Klopp itu.

Dalam pada itu, jiran Liverpool, Everton kini kendali oleh bekas pengurus the Reds itu, Rafael Benitez. Ada segelintir penyokong yang menganggap ia satu tindakan yang kurang popular, tapi ia dianggap satu keputusan yang praktikal disebabkan kekangan Financial Fair-Play (FFP.

Itu pendapat penyokong Everton, Izwan Mohamad Akram.

“Kegagalan untuk memantapkan posisi yang lemah dan pincang seperti bek kanan, attacking mid dan pesaing untuk Dominic Calvert-Lewin masih belum terisi.

“Jendela perpindahan untuk musim ini juga boleh dianggap sendu dengan kegagalan untuk mendapatkan khidmat Max Aaron (Norwich) & Danzel Dumfiries (PSV Eindhoven).

“Kemasukkan Andros Townsend dari Crystal Palace secara percuma dan Demarai Grey dari Bayer Leverkusen dan potensi penghijrahan keluar James Rodríguez dan Moise Kean tidak menzahirkan harapan yang tinggi untuk musim Ini.” kata Izwan.

Sementara itu, penyokong Arsenal tidak meletakkan harapan yang tinggi pada musim baharu ini. Bagi penyokong tegar the Gunners, Yuzir Harafi, musim ini bakal menjadi kayu pengukur terhadap kemampuan sebenar pengurus pasukan itu, Mikel Arteta.

“Kebanyakannya peminat The Gunners agak kecewa dengan prestasi musim lepas dan kelihatan seperti Arsenal tidak lagi memiliki kredibiliti sebagai ‘The Big 4’.

“Arteta wajib membawa Arsenal untuk menamatkan EPL 2021/2022 dalam ‘Top 4’ atau ‘Top 6’, jika tidak, Arsenal boleh menjadi ‘The Invisible’ dan kedudukan Arteta mungkin tergugat.” kata Yuzir.

Bagi mengukuhkan barisan pertahanan, Arsenal membeli pertahanan England, Ben White dari Brighton dengan bayaran £50 juta. Ramai yang mengganggap ia satu jumlah yang sangat besar tetapi Arsenal perlu mengukuhkan pertahanan mereka.

“Pembelian White, pertahanan bek kiri yang muda dari Benfica Nuno Tavarez dan Albert Sambi Lokonga adalah baik untuk perancangan masa depan Arsenal.

“Mungkinkah ini yang dinamakan #TrustThProcess oleh Arteta kerana Lokonga juga membuat debut yang baik untuk perlawanan pra-musim Arsenal.” kata Yuzir lagi.

Pesan terakhir Yuzir kepada Arsenal: "Jangan jersi sahaja lawa, tapi prestasi menghampakan peminat."

Perkara yang paling penting musim baharu ini adalah kembalinya penyokong ke stadium buat kali pertama sejak Mac 2020 akibat pandemik COVID-19. Itu sudah pasti akan menceriakan kembali suasana di stadium dan menaikkan semangat pasukan masing-masing untuk beraksi di halaman sendiri.

Musim baharu EPL bermula jam tiga pagi awal pagi esok, dengan Arsenal menentang pendatang baharu liga, Brentford.