ARSENAL 0 BRIGHTON & HOVE ALBION 3

Impian Arsenal untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini kian terpadam selepas tewas kepada 0-3 kepada Brighton di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Jaringan Julio Enciso, Deniz Undav dan Pervis Estupinan menyaksikan The Gunners terlepas tiga mata penting untuk bersaing merebut gelaran itu dengan pendahulu liga, Manchester City.

Kekalahan itu juga menyaksikan City hanya memerlukan satu lagi kemenangan daripada tiga baki perlawanan dalam tangan mereka untuk mempertahankan gelaran liga divisyen utama itu dan mereka boleh melakukannya seawal hujung minggu ini sewaktu melayani tandangan Chelsea.

Buat Brighton pula, kemenangan terbaru itu sudah pasti membuka peluang untuk mereka memburu penamat empat teratas memandangkan pasukan bimbingan Roberto De Zarbi itu kini menduduki tangga keenam dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding Liverpool, Manchester United dan Newcastle United.