Enam pasukan termasuk tuan rumah Malaysia mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa bawah-21 Piala Sultan Johor yang bermula 21 hingga 29 September depan. Kejohanan kali ke-3 itu menyaksikan Pakistan, Korea Selatan dan India masih kekal sebagai pasukan jemputan manakala England serta Argentina menyertainya buat pertama kali.

Pasukan bawah-21 negara menyasarkan kedudukan dua terbaik dalam edisi kali ini selepas menduduki tangga tercorot pada penyertaan tahun lalu yang menyaksikan Jerman menjulang piala tersebut. Untuk rekod, pasukan bimbingan Mohd Dharma Abdullah pernah menjulang Piala Sultan Johor pada 2011.

Kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya itu juga menjadi medan persiapan kesemua pasukan untuk menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja pada penghujung tahun ini di India.

Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, MHC, Majid Manjit Abdullah berkata, kejohanan tahunan itu sepatutnya disertai juga pasukan Afrika Selatan namun menarik diri pada saat akhir.

Bagaimanapun beliau mensasarkan penambahan jumlah pasukan jemputan untuk edisi akan datang menjadikan 7 pasukan keseluruhannya. Beliau ditemui selepas majlis penyampaian penajaan Piala Sultan Johor 2013 di Puteri Pacific Hotel, Johor Bahru.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menghadiri majlis berkenaan yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebanyak 1.03 juta ringgit tajaan diperoleh daripada 10 agensi iaitu kerajaan negeri, Johor Corporation, The Zon, Majlis Sukan Negara dan SAJ Holding Sdn Bhd.

Turut menaja kejohanan berprestij itu ialah Astro Arena, Iskandar Waterfront, Genting Berhad, BCB Berhad dan UEM Land Sdn Bhd.