PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah membangunkan pek sumber kebajikan haiwan (PSKH) bagi digunakan sebagai bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran di semua prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) seluruh negara.

Dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Sektor Prasekolah, Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, pek sumber tersebut bertujuan menerapkan budaya menyayangi haiwan dalam kalangan murid prasekolah.

"Selain daripada itu, pek sumber itu juga penting untuk membentuk budaya pemilikan haiwan yang bertanggungjawab terutamanya bagi generasi muda dalam negara," menurut DVS dalam kenyataan pada Khamis.

DVS memaklumkan, PSKH yang terdiri daripada bahan fizikal dan digital, antara lain mengandungi empat lagu kanak-kanak bertemakan haiwan, video pengendalian haiwan kesayangan (kucing), buku cerita bertajuk "Fara Sayang Haiwan" yang diterbitkan dalam dwibahasa serta panduan untuk guru dan kad permainan "Yummy".

Buku cerita "Fara Sayang Haiwan" akan turut diagihkan ke semua prasekolah bermula tahun ini hingga 2026 secara berfasa.

Selain itu, pek sumber berkenaan akan dimuat naik di laman web DVS dan portal Bahagian Pembangunan Kurikulum serta Repositori BPK-SumberKu.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Badrul Hisham Mohd ketika berucap dalam majlis peluncuran PSKH di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(2), di sini, berkata, inisiatif berkenaan dapat memberikan pendidikan awal mengenai sikap ihsan kepada haiwan, seterusnya menjadi masyarakat yang penyayang sesama makhluk.

"Saya ingin mencadangkan kepada pihak KPM agar warga pendidik di semua sekolah dapat membimbing pelajar supaya cintakan dan jaga haiwan dengan penuh kasih sayang bagi mengelakkan berlakunya pengabaian dan penganiayaan kepada haiwan.

"Apabila ada kes-kes yang diviralkan tentang penganiayaan kepada haiwan melibatkan remaja dan pelajar sekolah, sesungguhnya sesuatu yang amat membimbangkan kerana perbuatan ini sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan pelajar di bawah umur di negara ini," katanya. - BERNAMA