PEMAIN Al-Hilal, Neymar membuka mulut mengenai kecederaan terbaharunya selepas dia terpaksa digantikan ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Esteghlal pada Selasa.

Bintang Brazil itu menjelaskan dia akan menjalani beberapa pemeriksaan untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai tahap kecederaannya itu.

“Saya rasa seperti kekejangan tetapi ia sangat sakit. Saya akan melakukan pemeriksaan dan berharap tiada kecederaan serius.

"Ia adalah perkara biasa untuk perkara ini berlaku selepas (tidak beraksi) satu tahun. Doktor telah memberi amaran kepada saya. Inilah sebabnya saya perlu berhati-hati dan mempunyai lebih banyak minit permainan," katanya dalam laman Instagram.

Neymar baru sahaja kembali ke padang selepas lebih setahun tidak bermain, masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-57 tetapi tidak lama kemudian terpaksa diganti kerana kecederaan otot di pahanya.

Perlawanan menentang Esteghlal itu merupakan perlawanan kedua beliau dengan Al Hilal selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) kaki kirinya ketika bermain bersama Brazil semasa Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Oktober tahun lalu.

Proses pemulihannya cukup perlahan dan dia juga tidak didaftarkan untuk bermain pada separuh musim pertama Liga Pro Saudi musim ini. - Sinar Harian/ Agensi