Biarpun tidak meraih sebarang pingat, gandingan Nur Dhabitah Sabri-Kimberly Bong telah mempamerkan peningkatan dan kematangan mereka dalam pusingan kedua Siri Dunia Terjun FINA 2019, di Beijing, China, hari ini.

Dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita di Pusat Akuatik Nasional Beijing, yang juga dikenali sebagai "Kiub Air", pasangan Malaysia itu berada di tempat kelima selepas mengumpul 268.26 mata.

Dalam pertandingan di Jepun minggu lepas, Nur Dhabitah-Kimberly mengumpul 265.50 mata dan berada di tempat ketujuh.

Jurulatih terjun negara, Christian Brooker mengakui bahawa Nur Dhabitah dan Kimberly telah mempamerkan aksi yang baik dalam pertandingan itu.

"Saya amat berbangga dengan mereka dalam pertandingan yang memberi tekanan yang tinggi ini, mereka mampu untuk bertenang dan melakukan terjunan yang konsisten.

"Mereka masih muda dan kurang pengalaman tetapi mereka perlu bertanding untuk jangka masa yang panjang bagi meningkatkan kematangan mereka," katanya.

Dalam aksi Pandelela Rinong-Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama wanita, Brooker berkata beliau berpuas hati dengan persembahan mereka yang hanya sempat membuat persiapan yang singkat untuk pertandingan itu.

"Mereka beraksi lebih baik sedikit dari minggu lepas. Mereka beraksi secara konsisten dan dengan beberapa peningkatan kecil mereka akan berada dalam kelompok saingan pingat.

Saya gembira walaupun hanya dengan persiapan yang singkat dan penggandingan yang luar daripada kebiasaan, mereka masih beraksi pada tahap kelas dunia," katanya.

Sementara itu, Nur Dhabitah berkata beliau gembira bahawa mereka telah melakukan peningkatan dalam pertandingan ini.

"Alhamdulillah, ya memang ada peningkatan. Namun, banyak lagi yang perlu diberikan tumpuan dan diperbaiki," katanya.

Nur Dhabitah akan bergandingan dengan Muhammad Syafiq Puteh dalam acara 3m papan anjal seirama campuran, esok.

-- BERNAMA